Setiap hari, setiap jam dan hampir setiap masa, saya akan terbaca berita-berita kegagalan bisnes di online mahupun berita di kaca televisyen. Sedih bila saya mendengar keluhan mangsa kegagalan yang akan berhadapan dengan hutang keliling pinggang serta diselebungi dengan hati yang remuk untuk bangkit berniaga semula.
Cuba anda bayangkan jika perkara ini berlaku di dalam hidup anda, apa yang anda akan lakukan? Adakah anda akan biarkan kegagalan ini terus-menerus menghantui hidup anda? Atau anda gunakan peluang kegagalan ini dan merawatnya menjadi satu perubahan positif yang akan memberi impak kepada bisnes dan hidup anda?
Jika anda memilih untuk merawatnya, anda berada diruang bacaan artikel yang tepat. Kali ini saya akan kongsikan 10 cara rawat kegagalan yang seringkali diguna pakai oleh usahawan-usahawan yang pernah berhadapan dengan situasi ini dan berjaya mengatasinya.
Rawatan #1 : Terima Hakikat
Terima hakikat bahawa anda memang telah gagal dalam bisnes. Jangan nak pusing-pusing cerita atau salahkan orang lain punca kegagalan ini terjadi. Sebelum nak salahkan orang lain, anda kena salahkan diri sendiri dahulu. Nak pendekkan cerita, kegagalan ini terjadi kerana anda kurang ilmu atau memang tiada ilmu langsung dalam menjalankan perniagaan. Mungkin ilmu yang ada di dada anda sekarang masih belum cukup untuk menjayakan perniagaan sedia ada. Dan mungkin juga ilmu yang dimiliki itu dipelajari dari mentor yang salah. Sekali lagi saya katakan, anda kena terima hakikat kegagalan ini berpunca dari diri anda sendiri.
Rawatan #2 : Kegagalan Bersifat Sementara
Percaya atau tidak, sebenarnya kegagalan hanyalah bersifat sementara sahaja. Kegagalan akan sentiasa wujud, tidak kira dari segi kehidupan harian ataupun dari sudut perniagaan. Anda perlu rasai kegagalan dalam hidup, melalui kegagalan anda akan mula keluar dari zon selesa sedia ada dan akan bersedia untuk menerokai proses perjalanan menuju kejayaan yang sebenar. Tidak perlu nak rasa frust sangat dengan kegagalan ini, percaya kepada Qadak & Qadar bahawa setiap perkara yang terjadi mempunyai hikmah disebaliknya. Cari hikmah kegagalan ini dan gunakannya serta merta ke dalam hidup anda.
Rawatan #3 : Bersedia Untuk Hidup Hari Ini
Apabila anda sudah mula menerima hakikat hidup serta mempercayai kegagalan ini hanyalah bersifat sementara, langkah ketiga adalah anda mesti bersedia untuk hidup pada hari ini. Maksud hidup hari ini ialah kehidupan yang tidak diganggu oleh masa silam yang pahit. Buang yang keruh dan ambil yang jernih, pepatah Melayu yang sesuai digunakan untuk langkah ini. Jangan biarkan kehidupan atau kegagalan yang negatif terus menjadi sebahagian hidup anda. Buangkan perkara negatif ini, ia akan menjadi satu tembok penghalang untuk anda capai kejayaan. Apa yang anda perlu lakukan adalah memikirkan apakah perkara-perkara yang dapat manfaatkan diri untuk dilakukan pada hari ini. Sebagai contoh, jika anda rasa ilmu anda masih kurang, jangan buang masa lagi, pergi cari ilmu pada hari ini juga melalui pembacaan buku, artikel (seperti artikel ini), majalah, online, dan sebagainya. Jangan cari alasan tapi cari jawapan. Hidup setiap hari biar penuh dengan gembira serta positif. Jika ditanya bilakah anda akan berasa gembira, katakanlah “hari ini!”
Rawatan #4 : Programkan Minda
Manusia mempunyai satu otak yang amat luar biasa. Setiap sel otak mempunyai programmingnya tersendiri yang bertukar menjadi satu bentuk arahan kepada tindakan fizikal dan rohani. Jika otak anda disalah programkan dengan perkara-perkara negatif maka kehidupan anda akan diselubungi dengan negatif. Sebagai contoh, sejak kecil ibubapa memberitahu bahawa mencari wang itu susah dan otak anda mempercayainya. Akibatnya, secara tidak sedar sel-sel otak anda telah diprogramkan dengan kata-kata ini. Sepanjang proses pembesaran sehinggalah ke alam dewasa, dalam keadaan tidak sengaja anda akan susah untuk mendapatkan wang yang banyak kerana minda anda telah ditanamkan dengan kepercayaan negatif iaitu ‘mencari wang itu susah.’ Ingat lagi apa yang sering sangat dikatakan oleh Dr Azizan Osman di dalam klinik-klinik usahawan yang dianjurkan oleh beliau – “apa yang anda fikirkan, rasa, cakap, dan tindakan, semua itu adalah doa.” Ingat! Apa yang anda fikirkan (program) itu merupakan satu doa, jadi fikirkan perkara-perkara yang positif seperti ‘mudahnya mendapat wang’, ‘saya kaya dan berjaya’, ‘kerja ini mudah’ dan lain-lain lagi.
Rawatan #5 : Kenali Kegagalan
Minda sudah mula menjalankan kerja untuk berfikir positif setiap masa, sekarang waktu untuk mengenali kegagalan. Langkah ini memerlukan anda melakukan sedikit penyelidikan. Cuba anda senaraikan seberapa banyak kelemahan-kelemahan diri yang menyumbang kepada kegagalan bisnes anda? Melalui kelemahan, sekarang anda senaraikan pula cara-cara yang paling sesuai untuk mengatasinya? Dengan jawapan yang ada, pelajari dan gunakan ia untuk pengembangan dan persediaan bisnes akan datang.
Rawatan #6 : Kenali Potensi Diri
Langkah ini sesuai bagi mereka yang ingin memulakan bisnes baru tetapi tidak mempunyai idea bisnes apa yang patut diceburi. Saya cadangkan anda ceburi bisnes berdasarkan potensi diri yang ada. Ia lebih mudah kerana anda sudah faham dan mempunyai kemahiran terhadap kerja yang hendak dilakukannya. Jom! Buat latihan sedikit. Ambil sehelai kertas, cuba tuliskan seberapa banyak kemahiran diri yang anda miliki, contohnya pakar dalam mengambil gambar, buat kek, mengurut badan, solekan, dan lain-lain. Dari banyak-banyak kemahiran yang ada, yang mana satu kemahiran yang paling anda suka lakukan dan berpotensi untuk menjana wang yang banyak? Dapat jawapannya? Jika anda sudah kenal pasti potensi diri, tiba masanya untuk anda mencari ilmu bisnes yang berkaitan dengannya. Dapat ilmu melalui pembacaan atau hadiri kursus dan seminar. Untuk mengenali lebih mendalam lagi potensi diri anda, saya cadangkan anda membaca buku “MAGNET Kekayaan & Kejayaan” yang ditulis oleh Dr Azizan Osman, terbitan Azizan Osman Publications. Buku ini akan merungkai segala misteri tentang potensi diri dan programming minda anda dengan lebih ekstrem lagi.
Rawatan #7 : Berdamping Orang Berjaya
Nak berjaya? Kenalah berdamping dengan orang berjaya! Ibarat anda mendampingi penjual minyak wangi akan wangilah badan anda. Kenapa orang berjaya? Orang berjaya mempunyai daya pemikiran yang proaktif dan positif. Mereka tidak kenal apa itu kegagalan malah mereka mengundangnya untuk mencipta satu kejayaan baru. Dekati golongan ini, pelajari bagaimana mereka melihat dunia bisnes sebagai permainan hidup. Jangan malu untuk berjumpa, berborak dengan mereka, minta tip-tip berguna dan jangan lupa belanja mereka minum sebagai tanda penghargaan.
Rawatan #8 : Bahagiakan Ibubapa
Ini merupakan salah satu cara fast track untuk anda berjaya dengan cepat! Sayangi dan bahagiakan ibubapa, terutamanya ibu anda. Ini kerana ibu anda umpama pemegang kunci untuk rezeki yang lebih besar. Setiap kali anda bahagiakan dan meminta mereka doakan anda agar menerima kekayaan dan kejayaan dunia dan akhirat, Insya Allah doa itu akan makbul, ini kerana doa ibu adalah doa yang mudah dimakbulkan. Bagi yang masih mempunyai ibubapa, inilah masa untuk anda berbakti sebanyak yang mungkin kepada mereka. Anda tidak memerlukan wang untuk buat mereka gembira, mungkin dengan hanya menjadi teman mereka berborak sudah cukup membuatkan hati mereka gembira. Hormati dan hargai setiap titisan peluh yang dikorbankan untuk anda.
Rawatan #9: Kuat Memberi
Kuat memberi atau menderma kepada orang-orang yang memerlukannya. Menderma bukan dari segi wang dan harta malah menderma boleh diberikan melalui ilmu-ilmu berguna yang tersirat dalam diri anda. Kongsikan ilmu manfaat ini kepada orang ramai, jangan simpan ilmu di dada menjadi perkasam. Untuk menjadi kaya, anda perlu memberi. Setiap apa yang anda beri, anda akan terimanya kembali olehNYA dengan berganda-ganda lagi. Lagi banyak beri, lagi banyak anda terima!
Rawatan #10 : Cintai Allah swt & RasulNya
Bagi yang beragama islam, anda diwajibkan untuk mencintai Allah swt dan RasulNya lebih dari anda mencintai diri sendiri. Anda perlu tahu setiap perkara yang baik terjadi kepada kita adalah pemberian dariNYA, dan setiap perkara buruk yang terjadi adalah dari kesilapan diri kita. Jangan tinggalkan solat wajib, dan lagi bagus jika disulamkan dengan solat sunat sebagai tambahan pahala. Minta petunjuk dari Allah swt agar diberi kekuatan untuk menghadapi segala rintangan yang bakal menjelma. Jangan lupa doakan juga agar diberi kejayaan di dunia, semoga kejayaan di dunia dapat menjadi bekalan di akhirat. Basahkan bibir dengan perbanyakkan zikir dan selawat ke atas Nabi Muhammad saw. Sebagai ingatan diri dan orang ramai, “tidak akan bergerak satu zarah pun jika Allah swt tidak mengizinkannya.”
Sumber: AOTribe.Com.My
Comments
Post a Comment