Tips Bisnes: 25 Panduan Untuk Mulakan Perniagaan

1- Menilai Diri Sendiri
Tidak semua orang mempunyai kualiti potensi diri yang sama yang diperlukan untuk memulakan perniagaan. Jika anda kekurangan ciri-ciri yang diperlukan sebagai seorang usahawan, jangan risau – luangkan masa untuk menimba ilmu yang tepat melalui pembacaan, seminar, kelas ataupun cari mentor untuk dijadikan panduan.
2- Membangunkan Idea
Jangan memulakan perniagaan kerana ia merupakan salah satu tren terkini dan menganggapnya ia dapat memberi pulangan wang yang lumayan jika dikomersialkan. Mula membangunkan satu konsep idea perniagaan yang anda minati dan mempunyai pengalaman terhadapnya. Ini memudahkan kerja anda, kerana anda sudah memiliki ilmu dan idea bagaimana hendak komersialkannya.
3- Penyelidikan
Sebaik sahaja anda telah menetapkan idea, sekarang cuba fikirkan bagaimana perniagaan ini boleh menjadi kenyataan. Adakah produk atau perkhidmatan yang bakal disediakan sesuatu yang orang ramai mahu atau perlukan? Bolehkah anda membuat keuntungan jika menjualnya?


4- Pelan Perniagaan
Ambil kertas dan pen! Mula merangka pelan perniagaan jangka pendek dan jangka panjang. Bagaimana perniagaan ini boleh berkembang dalam masa setahun, tiga tahun dan lima tahun. Apakah idea yang diperlukan jika anda ingin pelabur melabur ke perniagaan anda. Secara asasnya, pelan perniagaan harus merangkumi misi, visi, ringkasan perniagaan, ringkasan eksekutif, perkhidmatan atau servis yang ditawarkan, penerangan pasaran sasaran, unjuran kewangan dan kos operasi. Dapatkan nasihat dari pakar jika anda mengalami kesulitan untuk merancangnya.
5- Mengenal Pasti Sasaran Pasaran
Ini merupakan kriteria yang penting bagi sesebuah perniagaan, kerana ia akan menentukan keuntungan dan kerugian perniagaan. Walaupun anda telah berjaya mengesan beberapa sasaran yang berkesan yang bakal memberi keuntungan perniagaan – jangan berhenti setakat itu, terus dan terus mengenal pasti sasaran baru. Ini bagi membolehkan perniagaan dapat berdaya saing dengan kukuh antara pesaing lain. Pelajari bagaimana mengenal pasti sasaran pasaran yang sesuai dengan perniagaan anda.
6- Kos Industri
Menentukan kos standard melalui penyelidikan terhadap industri-industri yang sama bidang perniagaan dengan anda. Teknik ini akan membantu anda menguruskan kos kewangan dengan lebih efisyen dan berkesan.
7- Mewujudkan Pelan Pemasaran
Sebaik sahaja anda berjaya menentukan berapa banyak wang yang diperlukan untuk memulakan operasi perniagaan, tiba masanya untuk fikirkan berapa banyak yang diperlukan untuk membangunkan produk atau servis dan merangkakannya menjadi satu pelan pemasaran.
8- Mencari Pelabur Yang Tepat
Anda akan memerlukan beberapa jenis pembiayaan bagi memulakan perniagaan, sama ada melalui simpanan bank, kad kredit, pinjaman, geran atau pelabur. Mencari pelabur yang berkongsi minat sama seperti anda, akan memudahkan anda melakukan perniagaan dengan lebih terancang di masa hadapan.
9- Memahami Pelabur
Sama ada anda suka ataupun tidak, pelabur mempunyai hak untuk bersuara ke atas syarikat anda. Cuba memahami apakah yang diperlukan oleh mereka sebenarnya. Jika diberi cadangan atau nasihat dari pelabur, dengarkannya dahulu – jangan dibangkang serta merta. Terima sahaja apa yang hendak dikongsikan oleh pelabur, tetapi itu tidak bermakna anda perlu mematuhinya 100% – ambil idea yang bernas sahaja!
10- Membina Satu Sistem Sokongan Keluarga
Kemungkinan besar anda akan melabur lebih banyak masa dan sumber ke dalam perniagaan baru anda. Pastikan keluarga anda memahami situasi ini. Mereka harus sedar bahawa proses ini akan mencabar dari segi emosi dan kewangan secara total. Sokongan keluarga akan dapat membantu pengembangan perniagaan baru dengan pantas.
11- Struktur Undang-undang
Mengenal pasti struktur undang-undang melalui bentuk pemilikan yang terbaik untuk perniagaan anda. Pemilikan terdiri daripada pemilikan tunggal, perkongsian, syarikat liabiliti terhad, perbadanan, syarikat bukan keuntungan (NGO), koperasi dan sebagainya.


12- Nama Perniagaan
Tentukan nama yang sesuai digunakan untuk perniagaan anda. Kemudian semak melalui online sama ada nama domain (website) telah dimiliki ataupun tidak.
13- Pendaftaran
Jika nama perniagaan yang dicadangkan boleh dimiliki, cepat-cepat daftar nama syarikat dan beli nama domain website. Lakukan pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
14- Mengambil Peluang
Terdapat banyak sumber-sumber percuma yang disediakan oleh pihak kerajaan dan juga NGO. Sumber seperti ilmu perniagaan, latihan, nasihat, bantuan wang perniagaan, geran perniagaan dan banyak lagi.
15- Cukai
Kenal pasti cukai yang perlu diwajibkan bayar. Terdapat beberapa cukai yang wajib dibayar seperti cukai perniagaan, pendapatan, eksais dan lain-lain.
16- Permit dan Lesen
Pastikan anda mempunyai permit dan lesen yang sah untuk melakukan perniagaan. Ini bagi mengelakkan sebarang masalah timbul di kemudian hari.
17- Insurans
Demi keselamatan, anda boleh membeli insurans-insurans yang bersesuaian dengan perniagaan anda. Setiap jenis perniagaan mempunyai polisi insurans yang berbeza. Anda juga boleh membeli insurans untuk diri dan pekerja anda sebagai salah satu manfaat yang disediakan oleh syarikat.
18- Buku Rekod
Sentiasa mempunyai simpanan rekod secara fizikal iaitu buku. Rekod aliran wang keluar dan masuk serta aktiviti-aktiviti syarikat.
19- Lokasi Perniagaan
Memilih lokasi yang sesuai dengan keperluan perniagaan anda. Lokasi yang mudah diakses oleh anda, pelanggan dan pembekal. Ini akan memudahkan pertumbuhan perniagaan.
2o- Tidak Perlu Pejabat
Tidak perlu pejabat, jika anda masih belum lagi mampu untuk memilikinya. Berniaga dahulu, dapatkan keuntungan yang tinggi kemudian kembangkannya dengan mendapatkan pejabat sebagai langkah permulaan. Pejabat dapat meyakinkan pelanggan bahawa perniagaan anda wujud dan kukuh.
21- Paten Perniagaan Bila Kukuh
Jangan melakukan paten jika anda masih belum mempunyai wang yang cukup. Ini kerana untuk melakukan paten perniagaan anda memerlukan kos yang mungkin menelan perbelanjaan sehingga mencecah beribu-ribu ringgit. Berniaga dahulu, kukuhkan jenama bisnes dan dapatkan keuntungan yang tinggi – kemudian baru mula patenkan perniagaan.
 22- Pandangan Idea
Anda mungkin berasa idea anda sudah cukup hebat, tetapi sebenarnya tidak. Ini kerana terdapat banyak lagi idea-idea bukan sahaja hebat malah luar biasa hebat. Jangan sempitkan pemikiran, kongsikan idea sedia ada anda bersama rakan-rakan dan keluarga. Dapatkan pandangan dari mereka dan perbaiki kelemahan jika ada. Mana tahu pandangan yang diterima itu bernas, gabungan idea itu bersama idea anda – hasilnya pasti akan jadi luar biasa hebat.
23- Jangan Takut – Lancar Sahaja
Segala persiapan sudah siap, kini tiba masa untuk lancarkannya secepat mungkin. Jangan tunda pelancaran produk kerana takut ia tidak mendapat sambutan orang ramai.
Lancar sahaja, pada waktu yang sama dapatkan maklumbalas dari pelanggan yang membeli dan bakal pelanggan. Maklumbalas ini merupakan info paling berharga buat bisnes anda, ia akan membantu untuk menaik taraf lagi kualiti produk atau servis ke tahap yang lebih bagus lagi.
24- Produk Inovasi
Produk inovasi adalah salah satu tip yang membuatkan bisnes terus unggul dan maju. Jangan asyik bergantung kepada produk lama sahaja, terokai produk baru yang akan menyegarkan udara bisnes anda. Pelanggan setia sentiasa menanti-nantikan sesuatu yang baru dari bisnes anda, jangan kecewakan mereka.


25- Bersabar & Realistik
Anda bukan seorang ahli magik yang mampu membina empayar besar dalam sekelip mata. Jadi realistik, kejayaan tidak akan turun seperti ribuan titisan air hujan, kejayaan harus ditakluk dengan tindakan dan kesabaran masa. Jangan gementar untuk memulakan perniagaan dengan langkah yang kecil, percayalah langkah yang kecil ini akan menjadi berjuta langkah yang pasti capai kejayaan. Kekalkan bersabar, realistik & tidak putus asa.


Sumber: AzizanOsman.Com
Foto: Carian Google

Comments

Popular Posts