Adakah kita memerlukan bantal untuk tidur yang lena?

Soalan:
Adakah kita memerlukan bantal untuk tidur yang lena? 
Bagaimanakah dengan nenek moyang kita pada zaman dahulu kala, adakah mereka peroleh rehat yang sempurna tanpa bantal?
Bolehkah tuan terangkan kebaikan dan keburukan menggunakan bantal?


Dr. Weil:
Jika dilihat kepada kegunaannya secara umum, bantal digunakan sebagai alas kepala semasa tidur. Manusia sebenarnya sudah lama menggunakan bantal semasa tidur dan berbaring.

Bantal paling awal yang ditemui dalam sejarah merupakan binaan batu oleh masyarakat kuno Mesopotamia, 9000 tahun yang lalu. Masyarakat awal Mesir juga dikatakan tidur di atas batu, untuk meninggikan kedudukan kepala supaya binatang atau serangga tidak merangkak masuk ke dalam mulut, telinga dan lubang hidung mereka. Masyarakat asli Cina pula menggunakan seramik, kayu dan batu sebagai bantal. Saya pernah terbaca, golongan geisha Jepun tidur di atas bantal batu untuk memastikan rambut mereka kekal kemas, tidak berserabut. Masyarakat Greek dan Roman pula menggunakan bantal daripada kain yang diisi dengan bulu dan straw; ternyata lebih selesa jika dibandingkan dengan seramik, kayu dan batu. Pada Zaman Pertengahan, Raja Henry ke-8 menegah penggunaan bantal kecuali untuk wanita mengandung; kerana pada era tersebut kebanyakan orang lelaki melihat bantal sebagai satu simbol kelemahan.

Walaupun pada zaman dulu bantal lebih 'keras' dan kedengaran tidak selesa, boleh dikatakan manusia memilih menggunakan bantal untuk menaikkan posisi kepala untuk tidur yang lebih selesa. 
"Pada hari ini, bantal merupakan perkara asas yang penting, sehinggakan hotel juga menyediakan bantal pelbagai jenis untuk memenuhi keperluan tetamu mereka."
Mengikut sebuah bancian yang dibuat di Amerika Syarikat, 64 peratus daripada jumlah undian menggunakan 1-2 biji bantal, manakala 27 peratus menggunakan sekurang-kurangnya 3 biji bantal.

Soalan anda di atas telah saya bincangkan bersama Rubin Naiman, Ph.D, seorang pakar tidur di Pusat Rawatan Integratif Arizona. Beliau melihat penggunaan bantal lebih kepada memenuhi keselesaan individu. Beliau juga menyatakan bahawa beliau mengenali ramai orang yang tidur lebih lena TANPA menggunakan bantal, dan ada juga yang suka melapikkan beberapa biji bantal semasa tidur untuk mengelakkan 'gastroesophageal reflux'.

Dr. Rubin Naiman menyarankan supaya kita memilih bantal yang tidak memerangkap haba,
 "Suhu badan yang rendah diperlukan untuk tidur yang nyenyak. Dan kita mahukan bantal yang materialnya bebas daripada bahan kimia berbahaya"

Anda boleh mendapatkan bantal yang direka khusus untuk stail tidur masing-masing:
  • Tidur menggunakan bantal yang lembut dan nipis jika anda suka tidur terlentang. Bantal yang terlalu tinggi menyebabkan kepala anda tertunduk berlebihan, meningkatkan risiko sakit leher.
  • Bantal yang gebu dan padat, jika anda suka tidur mengiring. Bantal tersebut perlu mengisi ruangan kosong antara telinga dan bahu anda untuk sokongan yang selesa.
  • Bantal yang lebih nipis dan rata untuk anda yang suka tidur meniarap. Jika anda memilih untuk tidur meniarap tanpa bantal, elok juga melapikkan bantal di bawah perut anda untuk mencegah sakit belakang atau pinggang.

Kesimpulannya, sama ada seseorang itu suka tidur dengan bantal atau tanpa bantal, ia lebih kepada kecenderungan dan keselesaan masing-masing. Tiada kebaikan atau keburukan bantal dapat dikaitkan dengan penggunaan bantal kerana ia bergantung kepada individu itu sendiri.

-Andrew Weil, M.D.

Sumber: DrWeil.Com | Foto: Carian Google | Nusya

Comments

Popular Posts