Tips Kehidupan: Kenaikan Mendadak Kos Sara Hidup Dan Cara Mencegah Pokai Menjelang Tahun Baru
Seperti kebiasaan, kita akan mempunyai impian atau hasrat tidak kira besar atau kecil, setiap kali Tahun Baru atau Hari Kelahiran kita menjelang. Cuba kita imbas seketika tahun 2016. Satu tahun pekerjaan, persekolahan, perniagaan dan kehidupan telah berlalu. Satu tahun ini juga merupakan satu tahun kita diberi pelbagai jenis pilihan dan peluang untuk hidup dengan lebih kejayaan, kekayaan, kebahagiaan, kesihatan dan keberkatan.
Persoalannya, sama ada kita merebut peluang menunaikan hasrat, impian dan matlamat kita ataupun kita hanya melihat masa dan peluang itu hanyut dan lenyap begitu sahaja. Satu tahun itu untuk kebanyakan orang hanya berlalu dalam sekelip mata tanpa disedari.
Dan dalam sekelip mata itu, akhir tahun 2016 pun semakin hampir menjelma. Mungkin ada di antara kita yang sekarang sibuk dengan menyediakan peruntukan dalam menghadapi cabaran baru yang bakal menjelang pada tahun 2017.
Pada waktu ini, jika dilihat, mungkin wang yang berada di dalam dompet dan akaun simpanan sudah mula susut berbanding di awal tahun. Bil-bil dan tanggungan bulanan masih kekal pada kos anggaran Ringgit Malaysia yang sama, tak susut-susut. Bila dibandingkan wang yang ada dengan kos bulanan, mulalah kepala menjadi kusut masai.
Kredit kad, pinjaman, cagar-mencagar barang dan bermacam cara lagi untuk mendapatkan wang akan mula berleluasa. Semua ini terjadi akibat dari tidak merancang kewangan bulanan dengan sebaiknya. Kali ini saya ingin berkongsi 5 tip yang boleh anda gunakan bagi menghadapi situasi ini dengan lebih bersistematik.
Tip #1: Kenal Pasti Kos Tetap Bulanan
Ini merupakan kos tetap yang dibayar setiap bulan seperti bil utiliti, kereta, rumah dan lain-lain. Ambil sehelai kertas dan tuliskan kesemua kos dan jumlahkannya sekali. Apabila anda mendapat satu jumlah RM keseluruhan kos tetap, jangan buang masa lagi – selesaikannya secepat mungkin dengan wang yang ada pada anda. Kos ini adalah wajib dibayar dahulu berbanding dengan yang lain.
Tip #2: Mencari Wang Tambahan Segera
Tip ini hanya sesuai bagi mereka yang menghadapi masalah tidak cukup wang untuk menyelesaikan kos tetap (di atas). Pinjam duit dengan niat akan memulangkannya kembali, anda boleh pinjam duit dari sesiapa sahaja kecuali ‘Along’. Cuba pinjam dari keluarga dahulu, jika tidak dapat beralih kepada rakan terdekat. Anda juga boleh menggunakan kad kredit jika memilikinya. Kad kredit dapat membantu anda jika anda tahu cara menggunakannya – tersalah guna maka dompet binasa!
Jika pinjaman dan kad kredit tidak berkesan, tiada cara lain lagi kecuali menjadi ‘usahawan instant’. Cari barang-barang lama yang masih elok dipakai dan lelongkannya di merata tempat. Anda mungkin boleh jualkannya melalui online seperti Facebook, mudah.my dan lain-lain lagi. Mungkin dengan teknik ini, secara semulajadi akan mendidik anda menjadi seorang usahawan berjaya di masa hadapan.
Tip #3: Mula Berjimat
Selesai membayar kos tetap, sekarang masa untuk tanggungan hidup bulanan seperti minyak kereta, makan minum, shopping, hiburan dan sebagainya. Sekali lagi, ambil kertas dan tuliskan kos-kos yang penting yang perlu ada dalam hidup selain dari hiburan dan shopping. Dengan baki wang yang ada, cuba bandingkan sama ada cukup atau tidak. Jika tidak, mulakan ‘Operasi Jimat’. Di sini terdapat beberapa idea yang boleh anda gunakan untuk operasi jimat:
a) Bawa bekal makan ke pejabat
b) Menaiki kenderaan awam
c) Hentikan nafsu shopping buat sementara
d) Hentikan aktiviti hiburan yang tidak bermanfaat
e) Makan malam di rumah (masak sendiri)
f) Kurangkan penggunaan telefon untuk elak bil naik
g) Kurangkan penggunaan elektrik dan air
Terdapat banyak lagi cara untuk kita berjimat, semuanya terpulang kepada diri sendiri.
Tip #4: Mula Berniaga
Tadi Tip #2 menceritakan mencari wang tambahan segera bagi menyelesaikan kos tetap bulanan. Sekarang Tip #4 mengajak anda berniaga untuk mencari wang tambahan selamanya. Cara paling cepat untuk kaya dan berjaya adalah dengan berniaga. Pergi cari ilmu perniagaan dahulu melalui pembacaan, kelas atau seminar. Nak cara fast track – cari mentor yang terbukti berjaya untuk ajar anda.
Tip #5: Merancang Kewangan
Selepas dompet dan simpanan anda kembali pulih seperti biasa, sudah tiba masanya untuk anda merancang kewangan dengan lebih teratur. Selain simpanan di dalam bank, anda juga boleh buat beberapa tabung khas untuk digunakan bagi tujuan tertentu seperti tabung pendidikan anak, tabung percutian keluarga, tabung Umrah atau Haj dan tabung Hari Raya. Ini bagi mengelakkan anda dari mengalami beban yang sama di masa hadapan. Jangan lupa buat sedikit pelaburan seperti emas, hartanah, saham dan pelaburan lain yang boleh memberi pulangan di masa hadapan.
Sumber: AzizanOsman.Com
Comments
Post a Comment