Tips Bisnes: Kehebatan Kuasa Kad Bisnes
Kad perniagaan atau lebih dikenali sebagai bisnes kad merupakan teknik pemasaran kuno (lama) bagi mempromosikan sesebuah perniagaan. Walaupun ianya kuno, bisnes kad masih lagi kekal popular sehingga ke hari ini kerana anda tidak perlu menjadi seorang super teknologi untuk mendapatkannya dan ia mudah digunakan.
Bisnes kad sering kali menjadi tanggapan pertama yang menggambarkan syarikat, servis atau produk serta pembekal maklumat berkenaan perniagaan dan individu yang memberi kad tersebut. Kehebatan bisnes kad ini lebih berkesan digunakan secara pemasaran bersemuka (face-to-face) dan ia juga merupakan pelengkap maklumat kepada pemasaran moden seperti website, blog, emel dan sebagainya. Terdapat 5 fakta penting yang perlu anda ketahui berkenaan kuasa bisnes kad ini dan mengapa anda perlu memilikinya sebagai alat pemasaran perniagaan anda.
1. PRAKTIKAL
Ianya sangat senang digunakan. Saiz kad yang kecil (3.5 inci x 2 inci) memudahkan ia disimpan di dalam dompet dan beg tangan malah anda boleh menyimpannya di dalam poket seluar. Seorang usahawan professional sentiasa berada di dalam keadaan bersedia untuk memberi maklumat perniagaan dan diri secara pantas jika berhadapan dengan prospek di mana-mana dan pada bila-bila masa. Bisnes kad dapat menjimatkan masa anda berbanding dengan menulis secara manual di atas kertas seperti nama, nombor telefon dan website.
2. MURAH
Harga sekotak (100 keping) bisnes kad lingkungan RM10 sehingga RM30 bergantung kepada kuantiti dan kualiti kad yang anda tempah. Kehebatan anda dalam mencari syarikat percetakan bisnes kad yang murah dan berkualiti juga akan menentukan harga tempahan kad tersebut. Tiada alasan untuk anda tidak memiliki bisnes kad, ianya murah dan wajib dijadikan sebagai alat pemasaran terawal perniagaan anda. Nak jimat lagi, dapatkan design bisnes kad secara percuma dengan menggunakan template sedia ada di dalam Microsoft Office dan cetakannya menggunakan mesin cetak (printer) kepunyaan anda. Jangan lupa cetak menggunakan kertas yang sesuai dijadikan bisnes kad seperti kertas Art card atau Ivory card. Walaupun kualiti design D.I.Y. anda kurang memuaskan, tetapi sekurang-kurangnya anda mempunyai satu alat pemasaran yang boleh digunakan serta merta tanpa ada hadnya.
3. KREDEBILITI
Bisnes kad merupakan simbol kepada kepercayaan, kejujuran dan identiti sebuah syarikat serta usahawan tersebut. Dengan kehadiran bisnes kad sebagai alat penyebar maklumat, ianya secara tidak langsung menunjukkan perniagaan anda itu memang wujud dan beroperasi. Nama dan nombor telefon yang dicetak di dalam bisnes kad menambah kuatkan lagi kepercayaan prospek terhadap diri anda kerana ia mengambarkan betapa mudahnya bagi mereka untuk menghubungi anda pada bila-bila masa
4. INFORMATIF
Bisnes kad mampu menyediakan maklumat yang banyak dan penting berkenaan perniagaan walaupun saiznya yang kecil. Berbeza dengan alat pemasaran lain, bisnes kad secara mudah boleh digunakan sebagai panduan maklumat serta merta dan ianya boleh digunakan pada bila-bila masa. Berbanding dengan iklan di tv, prospek hanya mempunyai lebih kurang 30 saat untuk mendapatkan maklumat produk atau servis yang diiklankan. Maklumat yang ingin diterapkan di dalam bisnes kad tidak kira dari segi gambar ataupun tulisan, ia merupakan kunci utama menawan hati prospek anda.
5. PEMASARAN EFEKTIF
Bisnes kad sangat efektif bagi mempromosikan sesebuah perniagaan. Dengan saiz yang kecil serta rekaan yang unik dan informatif, bisnes kad mampu menjadi satu alat pemasaran bergerak. Ia umpama mini iklan billboard yang bakal menarik prospek ke kancah perniagaan anda. Meskipun kecanggihan teknologi di dalam pemasaran media sosial semakin meningkat, sebahagian besar pengendalian perniagaan masih lagi tetap diteruskan secara bersemuka. Ini kerana prospek akan lebih yakin dan selesa jika pertukaran maklumat dijalankan secara berhadapan dengan manusia berbanding dengan komputer.
Sumber: AOTribe.Com.My
Comments
Post a Comment